Saya lega kerana Jejai sudah menceritakan perkara sebenar,” kata aktres Nora Danish (gambar) berhubung kenyataan bekas suaminya yang menegaskan dia tidak ada kaitan dengan perpisahan ahli perniagaan itu dengan pelakon Fasha Sandha.
“Saya nafikan gosip yang mengaitkan percutian saya dengan keluarga Jejai di Jepun sebagai punca perpisahan mereka sedangkan hubungan sudah putus dua bulan sebelum itu,” katanya.
Nora atau nama sebenar, Nora Danish Mohd Hanif, 29, berkata dia perlu bertegas dalam perkara itu kerana tidak mahu namanya dikaitkan lagi.
“Saya tidak mahu orang salah faham dan mengaitkan saya dalam perkara itu. Saya kena bertegas kerana sampai bila-bila pun saya akan dikaitkan dengan perkara ini,” katanya.
“Saya sedar ada spekulasi yang sering mengaitkan nama saya kononnya mengganggu hubungan mereka.
“Walaupun gosip itu tidak menyebut nama, saya sedar ia ditujukan kepada saya tetapi saya cuma diam dan membiarkan masa menentukan. Sekarang sudah jelas dan terjawab,” katanya yang dihubungi, semalam.
Menurutnya, dia tidak ada hak untuk masuk campur dalam urusan perhubungan Jejai dengan Fasha kerana mereka bukan lagi suami isteri.
“Kami sudah lama bercerai dan kalau satu hari nanti mereka ditakdirkan berkahwin pun saya tidak ada sebarang masalah.
“Saya sendiri mengaku sedang mengenali seseorang ketika ini seperti yang Jejai katakan dalam akhbar hari ini (semalam),” katanya.
Nora berkata, sebelum mereka bercuti di Jepun pada 30 Disember lalu, Jejai ada menceritakan kepadanya hubungannya dengan Fasha sudah dua bulan berakhir.
“Saya cuma mendengar saja kerana saya tidak mahu mengambil tahu tetapi bersyukur kerana Jejai memberi kenyataan tidak mengaitkan saya dan saya tidak tahu mengenai kenyataan itu sehinggalah membacanya di akhbar.
“Sebelum ini saya sedih kerana ada sesetengah orang hanya mendengar pandangan sebelah pihak saja dan membuat spekulasi sendiri tanpa meminta penjelasan saya,” katanya.
Mengenai kenyataan Fasha, Jejai masih menghubunginya dan menghantar SMS sepanjang ahli perniagaan itu bercuti, Nora berkata, dia tidak tahu apa-apa.
“Mereka sudah putus dua bulan sebelum kami pergi Jepun, kalau Jejai hantar pun mungkin sebagai kawan yang bertanya khabar.
“Selepas hampir tiga tahun bercerai, ini kali pertama saya mengikut keluarga bekas suami bercuti,” katanya.
No comments:
Post a Comment