Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merampas gelaran juara All
England 2014 selepas membenam musuh tradisinya Chen Long dari China pada
final di National Indoor Arena, Birmingham, England, awal pagi ini
waktu tempatan.
Pemain nombor satu dunia itu bermula garang
dengan menewaskan Chen Long pada set pertama dengan 21-13. Pada set
kedua Chen Long menunjukkan aksi agresif dengan memberikan tentangan
sengit menerusi turutan mata yang hampir sama.
Namun ketenangan
Chong Wei mengawal emosi di gelanggang serta mempelbagaikan teknik
permainan membawa kejayaan dengan menyingkirkan Chen Long, 21-18 pada
set kedua itu dalam masa 59 minit.
Chong Wei pernah meraih
kejuaraan itu pada tahun 2010 dan 2011. Kemudian Lin Dan dari China
meraih kejuaraan tersebut pada tahun 2012 dan Chen Long pada tahun 2013.
Kemenangan kali ketiga Chong Wei dalam All England itu dimeriahkan
dengan sokongan padu penonton Malaysia yang berada di sana. Perlawanan
itu turut bersiaran langsung di televisyen satelit.
Sementara
itu, juara All England bagi beregu lelaki dimenangi gandingan Mohammad
Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia selepas menewaskan Hiroyuki
Endo-Kenichi Hayakawa dengan 21-19 dan 21-19.
Acara
perseorangan wanita pula dimenangi Wang Shixian dari China yang
mengenepikan rakan sepasukannya Li Xuerui dengan straight set 21-19 dan
21-18.
China turut mendominasi acara beregu wanita menerusi
Wang Xiaoli-Yu Yang selepas menewaskan beregu sepasukan mereka Ma
Jin-Tang Yuanting, 21-17, 18-21 dan 23-21 dalam masa sejam 21 minit.
kredit to Astro awani
No comments:
Post a Comment