Thursday, April 12, 2012

Pertabalan Seri Paduka catat sejarah

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain adalah Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim ditabal Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 ketika berusia 42 tahun dan kini, empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.




Seri Paduka bertitah: “Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya.”

Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan rakyat.
“Maka jadilah insan yang mulia sebagai mana dituntut agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara,” titah baginda.

Baginda bertitah: “Sesungguhnya, setelah lebih empat dekad berlalu seperti dipertentukan oleh Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan beta pada kali dulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

“Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” titah baginda.

No comments: