Sunday, April 29, 2012

BPH

KENYATAAN MEDIA

BAHAGIAN PENGURUSAN HARTANAH

JABATAN PERDANA MENTERI

BERTARIKH 25 APRIL 2012

Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri ingin merujuk kepada laporan yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 24 April 2012 mengenai "BPH Diminta Kaji Peraturan Ketat".

Tindakan menguatkuasakan peraturan di kuarters kediaman penjawat awam yang dilaksanakan oleh BPH adalah merujuk kepada Peraturan-Peraturan Menduduki Kuarters yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh setiap penghuni semasa menerima tawaran untuk menduduki kuarters. Antara perkara yang terkandung dalam peraturan tersebut adalah penghuni kuarters adalah tidak dibenarkan untuk berniaga atau menjalankan apa-apa bentuk perniagaan.

Penguatkuasaan yang dijalankan oleh BPH dibuat hasil daripada aduan yang diterima daripada penghuni kuarters mengenai aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh penghuni-penghuni kuarters sendiri dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak BPH. Aktiviti perniagaan ini termasuklah aktiviti perniagaan mengasuh anak-anak dirumah di kawasan kuarters di seluruh Putrajaya.

Tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan itu telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan mereka yang terlibat menjalankan aktiviti berkenaan. Sehubungan itu, pada 18 April 2012 yang lepas, BPH telah mengadakan sesi dialog dan perjumpaan dengan semua penghuni yang mengusahakan aktiviti perniagaan di kawasan kuarters bagi mendapatkan pandangan dan penyelesaian.

Langkah ini adalah sebahagian dari proses engagement dengan penghuni sebelum sesuatu pekara itu dilaksanakan dan pihak BPH sebenarnya belum mengeluarkan notis mengosongkan kuaters kepada pihak yang terlibat kerana penelitian kepada isu ini masih dijalankan.

Hasil daripada maklum balas yang diperolehi pada sesi dialog dan perjumpaan tersebut, BPH telah mengambil beberapa tindakan seperti berikut:

a) Mendapatkan maklumat terhadap bilangan dan bentuk aktiviti perniagaan yang mendapat perhatian utama di kalangan penghuni kuarters. Tindakan ini akan meliputi kesemua Presint di Putrajaya yang mempunyai kuarters. Maklumat yang diterima itu akan digunakan sebagai input kepada BPH semasa merangka cadangan pindaan kepada perenggan 6.2.1 di dalam Surat Perjanjian Menduduki Kuarters Kerajaan. Tempoh masa yang terlibat adalah daripada 19 April 2012 hingga 25 April 2012. Usaha untuk mendapatkan maklumat tersebut menerusi operasi yang akan dijalankan itu bukan hanya bertumpu di Putrajaya sahaja tetapi juga akan diperluaskan kepada semua kuarters yang berada di bawah kawalan BPH termasuklah di Jalan Dutamas dan Jalan U-Thant, di Kuala Lumpur serta KKKA di Tanjung Kupang, Johor.


b) membentuk satu Pasukan Petugas (Task Force) yang akan meneliti, menyemak dan mengkaji semula cadangan pindaan Surat Perjanjian Menduduki Kuarters khususnya perenggan 6.2.1 dengan mengambilkira kepada cadangan bentuk aktiviti perniagaan yang akan dibenarkan. Pasukan Petugas ini akan mengkaji dari pelbagai aspek termasuklah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Bomba dan sebagainya.

c) BPH
akan meletakkan sasaran untuk mengeluarkan surat arahan pindaan terhadap Surat Perjanjian Menduduki Kuarters itu kepada semua penghuni kuarters pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada semua penghuni dan tarikh berkenaan itu nanti juga dianggap tarikh penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dibenarkan atau sebaliknya.

No comments: