Thursday, February 24, 2011

pngacara MelOdi brTukaR...

Pertukaran dibuat bukan kerana ketidaksefahaman, sebaliknya untuk memantapkan program

BERMULA 3 April ini, Melodi akan memperkenalkan gandingan baru, Zizan (Raja Lawak) bersama Dira Abu Zahar untuk mengendalikan program hiburan popular, Melodi.

Pengumuman yang dilakukan TV3 semalam mengiyakan segala desas-desus yang rancak tersebar sejak lebih seminggu lalu, mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran pengacara bagi program terbabit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan stesen terbabit, Melodi masih mengekalkan waktu siarannya iaitu setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari.
Menurut penerbitnya, Azman Abd Ghafar, tahun silih berganti, fungsi Melodi turut menempuh reformasi.

"Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian Melodi iaitu dari segi kualiti penerbitan, kandungan paparan dan waktu siaran. Malah promosinya perlu diperkemas dan dimantapkan lagi bagi mengekalkan prestasi serta kredibilitinya sebagai antara program paling popular di TV3.

"Selari dengan tempoh tamat kontrak pengacara Wahid dan Fara Fauzana pada penghujung Mac ini, pihak kami dengan sukacita memperkenalkan gandingan Zizan dan Dira pula selaku pengacara ataupun pemangkin program Melodi," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, memang tidak dinafikan keserasian dan kehebatan Wahid dan Fara selama hampir enam tahun memikul tanggungjawab sebagai pengacara rancangan itu, namun, selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran muka hadapan Melodi ialah langkah strategik dan wajar dilakukan.

"Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Dira kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan gaya tersendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan. Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan bakat yang berbeza dan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Bukan sekadar bertumpu kepada gurauan dan usikan semata-mata, jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Dira mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton," kata Azman lagi.

Jelas penerbit itu. pihak penerbitan tidak mahu masyarakat mahupun penonton setia Melodi beranggapan transisi ini satu perkara negatif ataupun berlaku kerana ada ketidaksefahaman antara pihak terbabit.

"Ia perubahan yang perlu dilakukan demi memastikan penjenamaan Melodi dan pengisian kandungannya akan terus diperbaharui, relevan dan menepati kehendak cita rasa jutaan penonton. Pembaharuan seperti ini berlaku untuk semua program TV3. Bukan saja Melodi malah jika diperhatikan dengan teliti pihak kami juga pernah membuat pembaharuan dari segi penerbit, wartawan penyiaran, kandungan dan penerbitan itu sendiri. Oleh itu, pertukaran pengacara sepatutnya tidak menjadi isu,” ujarnya lagi.

Wahid dan Fara akan bersiaran sebagai pengacara Melodi buat kali terakhir di lokasi Karnival Jom Heboh Batu Kawan, Pulau Pinang pada 27 Mac, manakala gandingan Zizan dan Dira akan mula mengambil alih pada minggu berikutnya, bersiaran langsung di Arena of Stars Genting Highlands, sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (3 April).

Bagi peminat Wahid, anda masih boleh melihat telatah spontan serta mencuit hati pengacara berbakat ini sebagai pengacara baru program Ewah-Ewah bergandingan bersama Nabil yang akan mula ditayangkan di TV3 mulai April nanti.

Info:
  • SEJAK mula diterbitkan pada 1992, nama seperti Datuk Mahadzir Lokman, Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Azwan Ali, Raja Azura dan gandingan serasi Wahid Senario dan Fara Fauzana ialah sebahagian daripada anak seni tempatan yang diberi kepercayaan memikul tugas berat mengendalikan program popular ini.
  • MELODI berjaya menarik perhatian lebih 2 juta penonton terdiri daripada pelbagai golongan yang menonton menerusi televisyen mahupun dari laman web rasmi TV3, yang menyiarkan rancangan ini secara langsung.
  • MESKIPUN berwajah baru, Melodi mengekalkan konsep persembahannya iaitu melaporkan berita berkaitan hiburan, merangkumi aktiviti, visi, sensasi, luahan rasa, kontroversi, gosip, potensi dan seumpamanya bagi memeriahkan persada serta bentuk sumbangan demi menaik taraf dan memajukan persada seni tempatan.
  • TENAGA produksi Melodi diterajui Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif, Azman Abd Ghafar (Penerbit), Michelle Wee Lili (penolong penerbit) dan Azwan Azmi, Nurul Izza Safar, Nik Shafiq Hadari dan Saiful Azmi Jamsari (wartawan penyiaran).

2 comments:

Zana Adieyza said...

hope perubahan ni bawak kebaikan..

zal88 said...

kte tggu n liht la cmne yg bru nnt kn kak..
thnks kak krn coMMent kt sni..;-)