Saturday, February 26, 2011

Hab pendidikan

Penduduk Pagoh menyambut baik persetujuan Sime Darby Bhd membangunkan tanah seluas 1,618.74 hektar di sini sebagai hab pendidikan di utara Johor yang secara tidak langsung merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan.

Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh, Tahir Taat, berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan persetujuan Sime Darby itu ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Pagoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soon Moong di sini, malam kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, persetujuan itu hasil perbincangan Muhyiddin dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, yang seterusnya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri supaya projek itu boleh dimulakan tahun ini juga.

Katanya, hab pendidikan itu akan menempatkan kampus tujuh universiti termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), sebuah universiti dari Indonesia dan sekolah menengah berasrama penuh.

“Kewujudan hab pendidikan di kawasan itu akan memberi limpahan pembangunan kepada penduduk termasuk daripada segi ekonomi dan pendidikan sendiri yang diharap turut memberi semangat kepada golongan muda untuk terus menimba pengetahuan.

“Saya menyokong penuh cadangan mewujudkan hab pendidikan Pagoh dengan membangunkan tanah Sime Darby dan berharap kerajaan negeri mempercepatkan proses merealisasikan projek berkenaan.

"Pada masa sama, saya berharap pembinaan pusat pengajian tinggi itu juga akan membabitkan kawasan Bukit Serampang di daerah Ledang bagi memastikan limpahannya dirasai oleh semua penduduk," katanya.

Tahir berkata, pengumuman Muhyiddin mengenai persetujuan Sime Darby itu disambut baik semua penduduk Pagoh dan kawasan sekitarnya termasuk Muar dan Ledang kerana limpahan pembangunannya akan turut dinikmati di kawasan berkenaan.

Sementara itu, penduduk, Jamal Sudin, 69, berkata pemilihan Pagoh sebagai hab pendidikan bersesuaian berikutan kedudukannya yang strategik di tengah laluan ke selatan di antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Katanya, hab pendidikan itu akan meningkatkan lagi pembangunan dan ekonomi di kawasan Pagoh dan sekitarnya.

"Pagoh mempunyai kelebihan dan kemudahan infrastruktur untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan, malah persetujuan Sime Darby untuk membangunkan tanah miliknya akan dapat menjadikan kawasan itu membangun dengan lebih pesat," katanya.

Peniaga di Pagoh, Ahmad Jamaluddin, 43, berkata sebelum ini Pagoh dianggap pekan kecil dengan pertumbuhan pembangunan agak perlahan tetapi pembinaan banyak pusat pengajian tinggi di situ kelak, diharap dapat membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

"Pembinaan lebih banyak universiti di Pagoh akan menyebabkan pembangunan di kawasan itu semakin pesat, sekali gus memberi kesan baik kepada penduduk," katanya.

No comments: