Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah.
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016.
Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011.
Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.
"Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi," katanya selepas bersarapan pagi dengan media Malaysia dan para pegawainya di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan.
No comments:
Post a Comment