Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecepatan (PTK) untuk kakitangan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, PTK akan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.
Beliau menegaskan demikian ketika membentangkan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.
Perdana menteri itu, keputusan itu dibuat dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam.
Katanya, penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan.
"Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya tinggal sekadar matlamat murni", tegas perdana menteri.
Rasa tidak puas hati berkaitan PTK tidak sahaja bangkit dari kakitangan bawahan, malah sehingga peringkat pegawai kanan kerajaan.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu PTK dikaji semula termasuk dari segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.
Sebaliknya, Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.
Katanya, ini kerana sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.
Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.
Ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat.
No comments:
Post a Comment