Along, Zila disatukan
SETAHUN sebulan mengikat pertunangan, Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, atau lebih dikenali sebagai Along Raja Lawak dan pasangannya juga bintang AF4, Nur Azilah Seeron, 21 (Zila), akhirnya bakal disatukan sebagai suami isteri yang sah, Sabtu ini (23 Januari).
Katanya, dia sudah bersedia melangkah ke satu fasa kehidupan yang baru dan memikul tanggungjawab sebagai suami.
"Alhamdulillah, segala persiapan berjalan dengan lancar baik sebelah Zila mahupun saya. Sekarang ini tunggu masa untuk diijabkabulkan. Memang keputusan saya untuk melangsungkan perkahwinan ini mendapat pelbagai maklum balas ramai khususnya teman-teman.
"Ada yang kata saya masih muda dan kerjaya baru hendak naik, tidak bimbangkah populariti jatuh apabila sudah berkahwin kelak. Memang tidak dinafikan kata-kata mereka itu ada benarnya dan kita boleh ambil contoh dari kehidupan ramai selebriti sebelum ini.
"Bagi saya perkara yang baik mengapa harus dilengahkan. Lagipun, sejak bertunang rezeki saya bertambah murah berbanding masa solo dulu. Ini pada saya satu petanda yang baik selain percaya setiap orang yang ikhlas bekerja akan mendapat rezeki setimpal.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak yang percaya hasil kerja saya seperti Harian Metro memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan program Gempak Santai Harian Metro. Tanpa peluang seperti ini mungkin kehidupan saya tidak selesa seperti hari ini," katanya.
Kata Along, majlis pernikahan mereka akan diadakan di masjid di Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, sekitar jam 10 pagi diikuti majlis persandingan bermula jam 12 tengahari di kediaman keluarga Zila. Majlis persandingan sebelah lelaki akan diadakan di Dewan Serbaguna, Johor Jaya pada 14 Februari, jam 8 malam yang jatuh pada sambutan Hari Kekasih serta Tahun Baru Cina. "Persandingan sebelah Zila berkonsepkan hitam dan hijau. Kami amat berbesar hati apabila Elyns Collections sudi menaja sekali gus menjadi perancang perkahwinan untuk majlis berkenaan.
"Sementara persandingan sebelah saya dengan tema moden Inggeris tajaan Adly Bridal dan LC Catering. Ia diadakan jam 8 malam dan majlis ini mengundang keluarga, rakan artis dan teman media yang rapat," katanya.
Berhubung wang hantaran, Along menambah, RM17,000 yang diberikan kepada Zila bukan kerana status tunangannya itu sebagai artis sebaliknya harga seorang wanita perlu dipandang tinggi bersesuaian keadaan semasa. Pasangan ini juga menetapkan dulang hantaran sembilan berbalas tujuh.
"Barang sekarang ini semuanya mahal. Hantaran yang diberikan untuk kegunaan majlis perkahwinan juga," katanya.
Mendedahkan rahsia mengapa Zila begitu istimewa di hatinya, Along berkata, selain memiliki paras rupa menawan, Zila yang menjadi tunangannya pada 9 November 2008 itu seorang wanita yang sangat ringkas.
"Kesederhanaannya memikat. Bayangkan emak saya yang agak cerewet pun boleh tertawan dengan sikap Zila. Memang dia artis tetapi Zila berasal dari kampung dan setakat kerja-kerja dapur ini memang sudah menjadi mainan dia.
"Orang tua kalau mahu cari menantu, pasti hendak tengok teman wanita anak pandai buat kerja dapur atau tidak. Paras rupa itu mungkin ukuran bagi si anak. Jadi pada saya, Zila melengkapi segala ciri yang dicari," katanya.
Along yang turut menjayakan filem Adnan Sempit sedang ditayangkan di Pawagam sejak 14 Januari lalu, sempat memaklumkan tarikh 23 Januari itu dipilih sebagai meraikan ulang tahunnya yang ke-27.
"Pada 19 Januari saya akan menyambut ulang tahun yang ke-27. Ingatkan mahu melangsungkan perkahwinan pada hari berkenaan tetapi ia jatuh pada hari biasa. Justeru, kami anjakkan pada tarikh berdekatan.
"Bakal disatukan sebagai suami-isteri bersama Zila adalah hadiah paling bermakna dan berharga sepanjang meraikan ulang tahun saya," katanya.
No comments:
Post a Comment