Thursday, September 30, 2010

Terminal baru dijangka dibuka akhir tahun..

Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan (ITT-BTS) dijangka dibuka penghujung tahun ini iaitu lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kebanyakan terminal dan kemudahan di ITT-BTS siap lebih awal daripada yang dijadualkan.
Saya tidak dapat memberikan tarikh khusus, ia terpulang kepada Menteri Pengangkutan untuk memutuskannya, katanya yang dite-mui selepas melawat terminal berkenaan semalam.
Katanya, pengurusan operasi terminal berkenaan akan menggunakan sistem elektronik canggih yang bakal memacu penggunaan sistem satu tiket untuk semua perjalanan pada masa depan dan menghalang ulat atau penjual tiket tidak sah.

Sistem satu tiket adalah cara terbaik. Ia menjadi salah satu matlamat di bawah Program Transformasi Kerajaan. Saya yakin menerusi kaedah penguatkuasaan dan pencegahan akan dapat mempertingkatkan keselamatan dan menghalang penipuan tiket, katanya.

Katanya, terminal itu bakal menyelesaikan aduan berkaitan masalah terbesar orang ramai iaitu ketiadaan penyambungan antara pelbagai pengangkutan awam.

Sistem di dalam terminal ini adalah yang pertama di Malaysia daripada segi kecanggihan kerana kemudahannya yang sama dengan lapangan terbang. Segala-galanya berkaitan di sini demi untuk keselesaan penumpang, mereka boleh memilih menggunakan bas, LRT, Keretapi Tanah Melayu (KTM) atau ERL, ruangnya juga besar dan berangin, katanya.
Bangunan enam tingkat yang mengandungi terminal bas itu juga akan menjadi tempat pertukaran antara perkhidmatan rel seperti KTM, LRT Ampang, ERL ke Lapangan Terbang Antara bangsa Kuala Lumpur dan bas RapidKL.

Ia mampu menampung kira-kira 40,000 penumpang dan 1,000 bas sehari dengan kuantiti 110 bas dalam sejam. Terminal bas di Bukit Jalil yang kini menyediakan perkhidmatan depoh secara sementara ke selatan akan dipindahkan ke terminal itu.

Ruang pelepasan dan ketibaan ditempatkan di tingkat dua manakala lobi untuk penumpang terletak di tingkat bawah sementara ruang menunggu teksi pula di tingkat tiga. Kawasan komersial pula terletak di tingkat empat manakala parkir kereta di tingkat lima dan enam.

No comments: